SLIP DISK


PENGENALAN

    Sakit pinggang merupakan salah satu factor utama pesakit menemui doktor. Bagi orang dewasa yang berusia 40 tahun keatas, sakit pinggang berada di tangga ketiga dalam carta, selepas sakit jantung dan radang sendi (artritis) untuk punca utama pesakit menemui doktor.

    80% manusia akan mengalami sakit pinggang dalam kehidupannya, dan hamper semua orang yang ada sakit pinggang, akan mengalaminya lebih dari sekali. Sangat kurang pesakit yang mempunyai sakit pinggang ada masalah kesihatan yang serius. 90% pesakit yang mengalami sakit ini untuk kali pertama akan pulih dalam jangka masa 2 ke 6 minggu. Sangat jarang pesakit akan mendapat sakit pinggang yang kronik.

    Berdasarkan fakta yang dinyatakan, anda boleh menganggap sakit pinggang ini adalah perkara biasa, yang selalunya hanya menyebabkan masalah dalam jangka masa yang pendek, dan dengan ini juga, anda boleh mengambil langkah mengurangkan tanda-tanda serta mencegah masalah ini. 

ANATOMI

    Sebelum mengulas lebih lanjut, adalah lebih baik untuk anda memahami serba sedikit mengenai tulang belakang bahagian pinggang anda. Tulang belakang bahagian pinggang dikenali sebagai LUMBAR. Tulang bahagian lumbar terdiri daripada 5 tulang kecil yang dipanggil badan vertebra. Doktor melabel tulang lumbar sebagai L1 – L5, tulang paling akhir lumbar iaitu L5, bersambung dengan bahagian atas tulang sacrum. Tulang sacrum merupakan tulang yang berbentuk 3 segi yang duduk diantara 2 tulang pelvik.

    Badan vertebra bahagian lumbar lebih tinggi dan tebal daripada badan vertebra bahagian yang lain di lajur tulang belakang. Hal ini kerana, bahagian pinggang menampung tekanan berat tubuh badan bahagian atas, serta mnenampung tekanan aktiviti harian seperti mengangkat, mendukung dan memusing badan. Selain itu, otot-otot yang besar dan kuat juga melekat dibahagian tulang lumbar meletakkan lebih tekanan pada badan vertebra bahagian lumbar.

 APA ITU SLIP DISK?



 Lajur tulang belakang terdiri daripada tulang-tulang kecil yang bertindan diatas satu sama lain. Dari atas kebawah, 7 tulang pertama dilabel sebagai Cervikal, bahagian kedua terdiri daripada 12 tulang kecil yang dilabel torasik, bahagian seterusnya terdiri daripada 5 tulang kecil yang dipanggil lumbar dan diikuti oleh sacrum dan koksik di hujung sekali. Disetiap lapis tulang ini dialas oleh cakera (disk). Cakera ini melindungi tulang belakang dengan cara menyerap hentakan daripada aktiviti harian seperti berjalan, mengangkat dan memusingkan badan.

    Setiap cakera mempunyai 2 bahagian: lembut seperti gelatin dibahagian dalam dan keras dibahagian luar. Kecederaan atau kelemahan boleh menyebabkan bahagian dalam cakera menembusi keluar daripada bahagian luar. Perkara ini dikenali sebagai slip disk. Hal ini boleh menyebabkan sakit dan tidak selesa. Jika slip disc ini menekan pada salah satu saraf anda, anda akan merasai kebas dan sakit disepanjang bahagian yang di salurkan saraf tersebut. Dalam keadaan yang lebih serius, anda mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang atau membaiki slip disk ini.

GEJALA SLIP DISK

    Slip disk boleh berlaku di mana-mana bahagian tulang belakang anda, dari leher sehingga ke pinggang. Bahagian pinggang merupakan bahagian yang paling biasa mendapat kecederaan slip disk ini. Lajur tulang belakang merupakan rangkaian rumit saraf dan salur darah. Kecederaan slip disk boleh memberi lebih tekanan kepada saraf dan otot sekitarnya. Antara gejala slip disk termasuklah :

l  Sakit dan kebas, terutamanya di bahagian sebelah badan

l  Sakit yang membawa ke bahagian tangan atau kaki

l  Sakit yang teruk diwaktu malam atau dengan pergerakan tertentu

l  Sakit yang bertambah teruk sewaktu berdiri atau duduk

l  Sakit apabila berjalan walaupun jarak dekat

l  Kelemahan otot yang tidak dapat dijelaskan

l  Kesemutan, lenguh atau rasa panas di kawasan yang terlibat

Gejala yang dinyatakan ini tidak sama bagi semua pesakit. Anda disarankan bertemu doktor jika kebas dan kesemutan mengganggu kebolehan anda mengawal otot.

PUNCA SLIP DISK BOLEH BERLAKU?

    Slip disk berlaku apabila cincin bahagian luar disk menjadi lemah atau koyak dan bahagian dalam cincin menembus keluar. Hal ini boleh berlaku dengan penuaan. Selain itu, pergerakan juga boleh menyebabkan slip disk. Bahagian dalam disk boleh terkeluar jika seseorang melakukan perbuatan mengangkat barang dan memusingkan pinggang. Mengangkat barang yang besar dan berat menyebabkan ketegangan yang teruk kepada pinggang, lalu menyebabkan slip disk. Jika anda bekerja dibidang yang menggunakan tenaga fizikal yang banyak pergerakkan mengangkat sesuatu, anda merupakan antara yang berisiko menghidap slip disk.
    
    Masalah berat badan berlebihan juga menjadi salah satu punca slip disk kerana disk mereka perlu menampung berat yang berlebihan. Otot yang lemah dan gaya hidup sedentari juga menyumbang kepada masalah slip disk.

    Apabila anda meningkat usia, anda juga mungkin akan mengalami masalah slip disk. Hal in kerana, disk anda mula kehilangan sebahagian air yang melindunginya berikutan peningkatan usia. Berikutan ini, disk lebih mudah terkeluar dari posisi asalnya. Slip disk juga lebih banyak terjadi kepada lelaki berbanding wanita.

BAGAIMANA SLIP DISK DAPAT DIKESAN?

            Doktor akan membuat penilaian fizikal, mereka akan mencari punca sakit dan tidak selesa. Mereka akan menilai fungsi saraf, kekuatan otot serta adakah anda akan merasa sakit apabila melakukan pergerakan atau apabila doktor menyentuh bahagian yang terlibat.

            Doktor juga akan bertanya mengenai sejarah perubatan serta gejala anda. Mereka akan bertanya bila kali pertama merasai gejala dan apakah aktiviti yang menyebabkan sakit lebih bertambah. Ujian imbasan boleh membantu doktor melihat tulang dan otot sekitar tulang belakang anda dan mengenal pasti kawasan yang bermasalah. Antara ujian imbasan yang dilakukan adalah :

l  X-ray



l  CT scan



l  MRI scan


    Melalui ujian ini doktor dapat maklumat untuk merumus apakah punca sakit, lemah dan tidak selesa anda.

 APAKAH KOMPLIKASI SLIP DISK?

            Slip disk yang tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan saraf yang kekal. Dalam kes yang sangat jarang berlaku, slip disk boleh memotong saliran saraf kepada saraf cauda equina yang menyalurkan maklumat kebahagian pinggang dan kaki. Jika ini berlaku, anda mungkin mengalami masalah mengawal buang air besar & kecil.

            Selain itu, komplikasi berpanjangan yang biasa dialami adalah hilang rasa dibahagian kaki. Perkara ini berlaku apabila slip disk menekan kepada saraf dan menyebabkan anda hilang rasa dibahagian dalam peha, belakang kaki serta sekitar saluran rektum.

            Gejala slip disk boleh berkurangan, tetapi ianya juga boleh menjadi lebih teruk. Jika anda tidak boleh melakukan aktiviti yang anda biasa lakukan, seeloknya adalah masa untuk anda bertemu doktor.

BAGAIMANA RAWATAN UNTUK SLIP DISK?

            Rawatan bagi slip disk boleh bermula dari konservatif kepada pembedahan. Pilihan rawatan akan bergantung kepada tahap ketidak selesaan yang anda alami dan sejauh mana disk terkeluar dari posisi asalnya.

            Kebanyakkan pesakit slip disk berasa lega apabila melakukan senaman yang meregangkan & menguatkan otot bahagian pinggang dan sekitarnya. Ahli fisioterapis akan mencadangkan senaman-senaman yang sesuai untuk menguatkan otot dan mengurangkan sakit anda.

            Selain itu, membeli ubat tahan sakit dari farmasi, mengelakkan mengangkat barang berat serta mengelak posisi yang menyebabkan kesakitan juga membantu merawat slip disk. Walaubagaimanapun, apabila mengelak melakukan aktiviti fizikal kerana kesakitan dan ketidakselesaan ini, kelemahan otot dan kekakuan sendi boleh berlaku. Jadi, anda perlu kekalkan aktif setakat yang mampu, lakukan regangan atau aktiviti kurang impak seperti berjalan. 

            Jika kesakitan slip disk anda tidak berkurangan dengan rawatan ubat dari farmasi, doktor mungkin boleh memberikan ubat yang lebih kuat. Contohnya seperti :

l  Ubat lembutkan otot (muscle relaxant) - mengurangkan ketegangan otot

l  Narkotik - untuk melegakan kesakitan

l  Ubat saraf - seperti gabapentin atau duloxetine

            Doktor mungkin mencadangkan pembedahan jika gejala anda tidak berkurangan dalam 6 minggu atau slip disk anda menganggu fungsi otot. Pakar bedah mungkin membuang disk yang rosak atau terkeluar tanpa membuang keseluruhan disk. Prosedur ini dipanggil “microdisectomy”


            Dalam kes yang lebih serius, doktor mungkin menggantikan disc anda dengan yang tiruan atau membuang disk anda dan mencantumkan 2 tulang vertebra. Prosedur ini selalunya akan melibatkan “laminectomy” dan “spinal fusion”, menambah kestabilan pada tulang belakang.

PENCEGAHAN SLIP DISK

            Adalah mustahil untuk meghalang slip disk, tetapi terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengurangkan risikonya. Antaranya:

l  Gunakan langkah mengangkat yang lebih selamat - bengkokkan lutut ketika mengangkat sesuatu, bukan pinggang

l  Kekalkan berat badan yang sihat

l  Jangan duduk terlalu lama, bangun dan lakukan regangan

l  Lakukan senaman kekuatan bagi otot pinggan, kaki dan abdomen

            Semoga dengan pencerahan dan perkongsian maklumat ini dapat membantu anda memahami masalah atau kesakitan yang anda alami. Dapatkan rawatan anda segera elakkan komplikasi yang teruk kerana perkara ini akan melambatkan proses serta peluang sembuh anda. #feelbetter,movebetter,bebetter dengan PHYSIO HERO 💪

 

           

 

Comments

Popular posts from this blog

APA PUNCA SAKIT LEHER?

SCOLIOSIS

PUASA DAN SENAMAN