MAKAN SECARA SIHAT SEPANJANG RAMADHAN

Saban tahun setiap kali Ramadhan menjelma, apa yang terbayang di kotak fikiran kita tidak lain dan tidak bukan ialah kemeriahan bazar Ramadhan. Ia seakan-akan pesta menjual makanan. Begitu meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk serta minuman yang disediakan khusus buat juadah berbuka. Malah terdapat juga makanan yang hanya dijual sepanjang bulan Ramadhan sahaja. Setelah seharian berpuasa, pastinya pelbagai juadah akan dibeli apabila berkunjung ke bazar Ramadhan. Pada masa ini, apa saja yang teringin pasti akan dibeli tanpa memikirkan adakah kita mampu untuk makan kesemua makanan tersebut atau tidak. Apa yang paling penting, rata-rata antara kita mula mengetepikan amalan makan secara sihat semata-mata kerana berpuasa.

KEPERLUAN MAKAN SECARA SIHAT DI BULAN RAMADHAN

Amalan makan secara sihat perlu diterapkan setiap masa. Terutamanya semasa menjalani ibadah puasa. Ini adalah penting untuk mengelak beberapa masalah kesihatan yang kerap dialami seperti sembelit, ketidakhadaman, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah (Hipoglisemia) dan sebagainya. Sekiranya masalah ini berlaku pastinya ia boleh mengganggu seseorang itu berpuasa dengan selesa dan menghayati fadhilat di bulan Ramadhan.

AMALAN PEMAKANAN SIHAT SEPANJANG RAMADHAN

Setelah seharian mengosongkan perut berpuasa ia tidak menjadi alasan untuk kita makan secara berlebihan semasa berbuka puasa. Kunci kepada amalan makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang walaupun di bulan puasa. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berdasarkan kepada Piramid Makanan Malaysia iaitu karbohidrat dari nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, serat dari buah-buahan dan sayur-sayuran, protein dari ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit lemak dari minyak, gula dan garam. Selain daripada itu, kita juga perlu mengekalkan hidrasi badan dengan mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup.

BERBUKA PUASA

Kebanyakan daripada kita suka mengambil makanan manis sebagai juadah untuk berbuka puasa. Ianya tidaklah salah, apa yang paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu sebaik sahaja berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita. Mengikut Sunnah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Ini adalah kerana kurma kaya dengan tenaga serta serat. Contoh makanan berbuka puasa yang baik adalah seperti berikut:

 

Berbuka
(Semasa azan maghrib)

3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur Atau ½ cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.

Makan malam
(Sesudah solat maghrib)

1½ cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.

Makan lewat malam (moreh)

Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic, kuih-muih, kacang Atau buah-buahan.

Pengambilan makanan yang terlalu pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan kepada perut anda di siang hari.

SAHUR

Amalan bersahur adalah penting untuk membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan.

Semasa bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat memberikan rasa kenan yang lama serta mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur. Walau bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana ianya bersifat diuretik dan boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil adalah seperti berikut:

Sahur                                            

1½ cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, ½ cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang Atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang Atau 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong.

Ramadhan merupakan satu peluang untuk menurunkan berat badan bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan dan mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan. Apa yang penting ialah amalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan tinggi gula. Beri perhatian juga pada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar, kita lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Amalkan pengambilan hidangan tunggal suku-suku separuh seperti yang disarankan KKM. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk anda tidak aktif. Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana seperti regangan dan berjalan kaki. Pengambilan makanan secara sihat bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.


Akhir kata, kami seluruh warga PHYSIO HERO mengucapkan Selamat Berpuasa dan dapat menjalani ibadah puasa dengan sihat dan sempurna. 

Comments

Popular posts from this blog

APA PUNCA SAKIT LEHER?

SCOLIOSIS

PUASA DAN SENAMAN